Thursday, December 12, 2013

Pemusnah Karipap

Bekerja di dapur bukanlah sesuatu yang mengujakan saya.

Sewaktu di awal perkahwinan, mertua mengadakan kenduri, lalu sebagai menantu baru yang berkobar-kobar untuk menjadi yang terbaik, cemerlang gemilang terbilang , saya pun duduk di dapur bersama makcik-makcik suami untuk membuat kerja-kerja dapur.

Selepas memotong sayur, mereka meminta saya meng’kelip’kan karipap. Buntang mata saya! Serta merta terasa seluruh organ dalam badan mengecut. Saya tidak pandai melakukannya! Dengan senyum-senyum kambing, saya kelepetkan juga karipap itu… tapi itulah… akhirnya saya hanya jadi bahan tawa mereka. Memanglah karipap itu tidak menjadi….

Kemudian, semasa saya keluar menghidang kueh untuk tetamu lelaki, salah seorang pakcik suami meminta saya membuat kopi O panas untuknya. Aduhai, kena lagi! kopi itu cair dan kurang manis. Saya terkebil-kebil berusaha memberi senyuman paling manis dalam usaha untuk menutup kekurangan kopi yang ‘kurang manis’ itu. Sudahnya saya ditertawakan juga.

Tuhan sahaja yang tahu betapa saya berusaha untuk terus tersenyum. Masuk ke bilik, air mata turun berjurai-jurai. Kecewa dengan kekurangan diri.

Itulah saya… sememangnya bukan menantu atau isteri pilihan pakcik makcik :)) .

Tetapi saya sangat bersyukur, Allah mengurniakan orang-orang yang sangat bertimbang rasa dan sering memberi ‘rasa pengecualian’ kepada saya.

Apabila saya mengeluh tidak pandai menjahit, ayah dan emak berkata “tidak mengapa, awak pandai komputer”. Apabila si ‘pandai komputer’ ini sangat ketinggalan zaman dalam perkembangan IT, suami pula berkata “tidak mengapa, awak tak perlukan semua itu untuk bahagia”. Apabila saya berpenampilan ‘langsung tidak menarik’ tetapi bertanya “abang, saya cantik tak?’ atau “abang, saya dengan Erra Fazira siapa yang lebih cantik?”, dia menjawab “sudah tentu isteri abang yang paling cantik” :)) .

Hu hu tidak mengapa, tidak mengapa… selesa sekali, mereka menerima saya seadanya.

Jadi kerana itu, saya bertekad untuk berusaha menyenangkan hati mereka juga sedayanya. Apabila saya dan suami membuka restoran, saya belajar mencintai dapur… kerana di permulaan perniagaan ini dibuka, disitulah kebanyakan masa suami saya berada.

Hampir tiga tahun berlalu, saya jadi terbiasa membuat air, menyedakan hidangan atau melayan tetamu kerana perlu mengganti pekerja yang tidak dapat datang tiba-tiba. Dulu, untuk menyediakan segelas air buat pelanggan pun berkali-kali saya menguji rasa. Melihat mereka merasa air atau makanan pun boleh membuat saya merasa jantung saya tercabut dari tangkainya. Apabila mereka pulang kelam kabut saya memeriksa baki makanan dan minuman mereka. Cuak sekali jika bakinya masih banyak.

Beberapa hari lepas Azhar Azizi datang ke restoran saya, lalu dia menangkap gambar dan menulis ‘bersama chef Rina’.

Allah ya Allah, ketawa saya… si pemusnah karipap ini dipanggil ‘chef’ :))

Saya bukan chef, tetapi sekarang saya memang sudah jatuh cinta dengan dapur. Jika tidak masuk dan menyibuk di dapur ini, saya jadi rindu….

Terima kasih Allah untuk segala pengalaman hidup yang menjadikan saya 'saya hari ini'.
 — feeling blessed.

Makcik kaki kurus

Makcik itu tersenyum-senyum memandang saya sambil duduk menjuraikan kakinya di tepi katil. Kakinya sangat kurus, sehingga kelihatan tulang sahaja, tidak sepadan dengan saiz badannya.

Dia tersenyum lagi, memandang kakinya, memandang saya lalu memegang lutut,

“Kaki makcik tak boleh guna lagi… “

“Makcik jatuh accident, tengok kaki makcik sangat kurus kan”, katanya sambil tersenyum.

“Ya lah makcik, kaki makcik kurus, kena makan lebih sikit”, gurau saya.

Pecah tawanya, “makan banyak manapun kaki tak boleh gemuk juga”

Saya pula yang nak berjuraian air mata, manis sahaja senyuman makcik itu, tidak terlihat langsung rasa sedih dan terkilan. Dengan usia tua, ditinggal anak di rumah orang tua-tua, dia masih boleh senyum dan ketawa semanis itu. Tabah dan redha dengan ketentuanNya.

Teringat saya mengeluh-ngeluh nak buat kerja sebab kaki kebas (salah posisi masa tidur) atau heboh satu rumah pasal kaki kejang atau tumit sakit.

Allah ya Allah, syukur dengan segala nikmat anggota badan dan pancaindera yang sempurna.

Terima kasih Allah. Terima kasih Allah. Terima kasih Allah.

Sunday, October 13, 2013

Adik-adik

Pernah seorang pekerja saya bertanya, “Akak sayang ye dengan adik akak?”.

Saya memandang dia dengan senyuman, “Eh, tentulah akak sayang, awak tak sayang adik beradik awak?”, tanya saya pula kepadanya.

Dia tersenyum kemudian berkata , “ Adik beradik kan selalu gaduh”.

“Rugilah kalau fikir begitu”, balas saya.

Saya anak sulung, adik-adik saya ada tiga orang. Semuanya istimewa di hati saya. Orang putih kata, saya ‘feeling blessed’ punya adik-adik seperti mereka.

Saya tidak ingat bila saya ada berkecil hati dengan mereka, sepertinya tidak ada… Selalu saya rasa mereka menghormati saya. Malah adik-adik lelaki saya sangat bersifat melindungi. Juga tidak pernah berkata tidak apabila saya meminta pertolongan.

Sepanjang perjalanan hidup, saya tidak tahu sama ada saya telah menjadi kakak yang baik atau tidak buat mereka, tetapi saya memang menyayangi mereka sepenuh hati saya.

Tentu sahaja jalan yang dilalui tidak lah indah sepanjang masa. Kadangkala ada juga langkah yang sumbang, sama ada saya atau mereka… hanya kami tidak menghakimi antara satu sama lain. Biarlah seburuk mana orang mengata, sebesar mana silapnya, tidak meluakkan kasih sayang antara kami. Semoga ia kekal begitu.

Status yang ini saya tulis khas untuk adik-adik saya supaya mereka tahu betapa sayangnya saya pada mereka. Mereka sangat istimewa di hati saya. Sampai bila-bila… semoga hingga ke Jannah.   

Allah Ya Allah, peliharalah ukhuwah antara kami. Jadikan kami orang-orang yang sentiasa berkasih sayang, jauhi kami dari dendam dan dengki khianat. Hiasi kami dengan akhlak yang mulia dan budi pekerti yang baik. Selamatkan kami dari api nerakaMU Ya Allah, tempatkanlah kami di syurga tertinggiMu Ya Allah. Kelak, pertemukanlah kami dengan semua yang kami sayangi di dunia ini di JannahMu Ya Allah.

Rindu

Malam tadi bersembang dengan tauke yang menghantar sayur. Dia berbangsa Cina, punya tiga orang anak gadis yang cantik dan manis. Dukacitanya, beliau telah tiga tahun kehilangan isteri kerana kanser.

Sengaja saya bertanya mengapa dia tidak mencari pengganti, sementelah dia juga masih segak. Katanya mendiang isterinya orang yang sangat baik, tidak pernah meninggikan suara atau mengecilkan hatinya. Justeru, dia tidak sampai hati mencari pengganti. Dari raut wajahnya, saya tahu dia sangat rindukan mendiang isterinya dan memang akhirnya terluah juga,

“ Saya rindu dia “.

Perlahan sahaja suaranya, tetapi seperti diungkap dengan seluruh jiwa raga. Terus berbekas di hati saya, terasa ke tangkai jantung kesedihan hatinya menanggung rindu.

Lama saya terdiam, menyesal kerana bertanya. Pertanyaan yang mungkin mengundang kesedihan.

Saya tidak mengenali mendiang isteri tauke sayur tersebut, tetapi dia pastilah seorang wanita hebat dan istimewa, dikenang dengan rindu yang begitu mendalam oleh suami dan anak-anaknya.

Akan adakah yang merindu saya begitu jika saya tiada kelak. Apakah momen yang saya tinggalkan untuk dikenang oleh mereka yang saya sayang. Sudah tertunaikah tanggung jawab saya terhadap mereka?

Allah Ya Allah, terasa kerdilnya diri, banyaknya lagi yang tidak saya lakukan untuk mereka.
2Like ·  · Promote · 

Sunday, September 22, 2013

Elektrik dan paip air

Saya lahir dan membesar di sebuah kampung yang indah. Kampung yang dialiri parit yang mengujakan pemancing. Di parit itulah saya berjaya memancing seekor ikan keli besar yang kemudian saya bawa balik menaiki basikal sambil tersengih-sengih gembira. Sengaja saya meletakkan ikan itu di dalam bakul basikal tanpa berbekas supaya semua orang di tepi jalan mengaguminya. 

Saya generasi kampung yang sempat merasai hidup tanpa bekalan elektrik dan paip air dari kerajaan. Kampung saya merasa elektrik dan paip air hanya setelah saya berumur 10 tahun.

Sebelum itu bekalan elektrik rumah kami diperolehi dari generator rumah jiran. Ayah membayar sewanya secara bulanan. Elektrik hanya ada dari jam 7 petang hingga 11 malam sahaja. Selepas itu kami memakai pelita nyonya (pelita itu ada gambar nyonya). Tetapi biasanya paling lewat jam 10.30 malam kami semua sudah tidur lena dalam kelambu. Keluarga kami dikira sudah amat bertuah, berjiran dengan orang kaya yang ada generator dan ayah yang bekerja sebagai seorang guru mampu membayar sewa generator itu. Lagipun rumah kami ada televisyen. Seribu rahmat jika dibandingkan dengan orang sekampung yang lain. Kebanyakan rumah yang lain hanya memakai pelita, lampu gasoline atau kabaid.

Arwah Embah atuk dan Embah nenek (atuk dan nenek sebelah ayah) memakai lampu gasoline, jadi jika ke rumahnya, menjelang maghrib sibuklah kami ngepam-ngepam lampu itu. Kalau ke rumah atuk dan uwo (atuk dan nenek sebelah emak), saya hanya melihat atuk memasang lampu kabaid.. bau nya tidak berapa enak tetapi cukup untuk menerangi malam kami hingga ke pagi.

Kami membasuh baju dirumah nenek kerana paip air belum masuk, rumah nenek mempunyai pam air, jadi setiap pagi emak akan ke rumah nenek menaiki basikal untuk membasuh pakaian. Jika tidak sekolah, selalunya saya menolong emak mengepam air, menekan dan menarik batang pam air itu ke atas dan ke bawah. Selesai membasuh, kain-kain akan diangkut dengan basikal untuk dijemur di rumah. Ada sekali saya terlanggar batu, habis jatuh bertebaran kain-kain itu di jalan bertanah merah… Aduh, teruk saya dibebeli emak, terpaksa membasuh semula semuanya.

Bagi urusan mandi manda, setiap rumah ada sebuah kolam. Sebab itu kebanyakan anak-anak dahulu pandai berenang. Kami jadikan buah kelapa sebagai pelampung. Kalau mandi bersama sepupu berjam-jam di kolam, bermain goreng kerepek buih, berlakon puteri-puteri … sehingga jari semua kecut, sehingga arwah atuk datang membawa rotan barulah mencicit naik. Kemudian setelah kesejukan, dihidang makanan panas… atau disebelah petang mencicah jambu batu dan buah nam nam dengan sambal kicap. SEDAP NYEEE!

Anak sekarang petik suis, terang benderang… pulas paip menderu-deru air bersih keluar. Tandas semua di dalam rumah, celik mata boleh mendail sahaja untuk sarapan dihantar ke pintu rumah. Tetapi jika saya diberi pilihan untuk memilih 10 tahun hidup tanpa elektrik dan paip air itu dengan kehidupan serba moden sekarang, saya pasti tidak berfikir dua kali untuk memilih yang dulu. Entah apa magisnya, tetapi dari kesusahan hidup saya rasa saya menemui lebih banyak kegembiraan.

Hal Sayang Menyayang

Melayani pelanggan-pelanggan di restoran saya sentiasa menjadi perkara yang hebat kepada saya. Mereka itu pelbagai watak, sentiasa mewarnakan hari saya.

Ada pelanggan yang datang berkereta mewah, berkilat, besar… parking sahaja sudah terasa aura ‘wow, dengan kelasnya yang tersendiri’, kemudian mereka keluar dari kereta, berjalan perlahan, duduk, melihat buku order, memesan makanan yang paling mahal..

Kemudian masing-masing mula melihat gadjet mereka yang pelbagai. Asyiklah mereka dengan gadjet tersebut sehinggalah habis makan.

Tiada komunikasi, kaku, tiada rasa, tiada aura yang dapat meleretkan sebuah senyuman.

Kekadang saya memerhati si anak jangankan berbicara, memandang ayah dan ibu yang semeja itupun tidak. Ayah dan ibu juga tidak kisah, seolah yang dimeja makan itu tidak wujud, mereka sibuk berbicara dengan orang lain yang tidak berada didepan mata… sibuk bersembang di telefon. Aneh, manusia kini lebih tertarik bercakap-cakap dengan orang yang jauh beribu batu dari bercakap dengan orang yang memang ada didepan mata.

Di masa yang lain, ada ayah dan ibu yang datang dengan anak-anak menaiki kereta ‘biasa-biasa’ yang tiada aura ‘wow’ itu. Dari pakaian mereka, boleh ditelah mereka memang orang ‘biasa-biasa’ sahaja.

Tetapi, turun dari kereta mereka sudah membuat saya tersenyum meleret. Sebelum sampai ke meja makan masing-masing sudah usik mengusik, ketawa dan teruja memilih meja. Kemudian sewaktu melihat buku order, mereka menenungnya dalam-dalam, berkerut kerut dahi memilih. Si bapa beria-ia menyuruh memesan chicken chop, si ibu memandang si bapa dengan mata bulat, anak-anak pula terkulat-kulat menelan air liur. Aduhai, barangkali mereka memang teringin, tetapi rasa bersalah untuk memesan takut mahal dan menyusahkan ayah untuk membayar.

“Nasi goreng kampung sajalah ayah”, anak sulong bersuara.

“Tidak, order lah chicken chop, ayah ada duit… hari ini ayah belanja”, ayahnya pula bersuara sambil tersenyum lebar.

Lalu, masing-masing berebut memilih chicken chop yang pelbagai, seronok mereka memesan ,

“ Saya nak chicken chop happy owl”

“ Saya chicken chop Mongolia”

“Emmm… saya nak chicken chop tempura “

… begitulah, tujuh orang, tujuh jenis chicken chop yang berlainan.

Semasa menunggu makanan, hingga makanan terhidang, hingga selesai makan, meja mereka riuh rendah dengan ketawa dan pelbagai cerita. Tidak seorang pun peduli dengan handphone atau apa juga gadjet yang mereka ada.

Bangun dari kerusi, masing-masing berterima kasih kepada si ayah. Lalu, saya lihat kepuasan yang tidak terbanding di wajah si ayah.

Saya berfikir-fikir, sebenarnya benarkah wang boleh membuat kita menjadi orang yang lebih bahagia? Atau sebaliknya? Adakah tanpa wang kita tidak disayangi? Atau adakah wang menjadikan kita orang yang lebih disayangi? Atau sebenarnya wang tidak ada kaitan dalam hal-hal mencari bahagia dan hal sayang menyayang? Ia hanya alat… benar-benar hanya alat, alat untuk digunakan dengan bijaksana bagi kita mencari bahagia di sana…

Allah ya Allah, selamatkan kami dari api nerakaMu .

Kucing Hitam

Ada seekor kucing hitam yang selalu mengendap-ngendap dan mencuri makanan kucing keluarga saya. Menurut Jannah, kucing hitam itu teman lelaki Mala (kucing keluarga kami). 

Selalunya apabila ternampak kami, kucing hitam itu segera lari, tetapi hari ini sewaktu saya menjumpai ia sedang enak makan, ia tidak lari… matanya dicerlungkan ke bawah tetapi memandang saya… tetap juga dia makan perlahan-lahan.

Mulanya saya ingin menegurnya, tetapi melihat riak wajahnya itu saya jadi kasihan… akhirnya hanya melemparkan senyuman. Kemudian ia seperti menarik nafas lega lalu makan laju laju.

Ahhh… seperti di drama tv, agaknya itulah perasaan anak-anak dijalanan yang harus bergelut dan mencuri curi untuk mendapat sesuap nasi. Bertuahnya diri, lahir di negara bertuah ini, dilimpahi kasih sayang keluarga, tidak pernah tidak cukup makan, lalu… apa saja lah segala masalah dan ujian yang diberiNya berbanding nikmat yang diberi. Syukur ya Allah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah 

Hari Yang Indah : Berkelah

Tarik langsir tingkap, biarkan cahaya memasuki bilik. Hamparkan pelapik di atas katil. Letakkan hidangan roti pita dan sardine. Tidak dilupa dua cawan kopi yang dilapik kotak keras.

Sempurna.

Kami pun tersenyum-senyum berkelah di atas katil sambil menikmati sarapan pagi.
Bosan sarapan di meja makan. Seronok juga begini. Sambil bersarapan, sambil bercerita tentang harapan, impian, cerita-cerita lalu. Rasa bertambah cinta :))

Kemudian baru mandi. Suami cuti hari ini. Seronok.

Turun ke bawah, suami mencapai mesin-mesin alatnya. Sambil membuat bekas bunga dari tempurung dan seludang kelapa, saya dengar dia bersajak-sajak pula.. Ecehceh, gembiranya Encik suami.

Saya menaip sambil memandang suami, merenung masa-masa yang berlalu, berbelas tahun hidup dengannya.Ada hari yang gembira, ada yang tidak tetapi saya tahu saya tidak tersalah memilih dia sebagai suami. Tak tahu sampai bila Dia meminjamkan semua yang saya sayang untuk menemani. Semoga hingga ke Jannah.

Makbulkan Ya Allah. Saya tahu di sana nanti ada banyak bidadari, saya duduk di sudut-sudut pun tidak mengapa, semoga Kau temukan juga lagi kami nanti di sana.

Hari Yang Indah : Jering Muda dan Bunga Jasmin

Awalnya, tadi, selepas menghantar suami ke stesyen keretapi dan menghantar Jannah ke sekolah, saya memutuskan hari ini adalah hari yang bosan. Ini kerana akhir-akhir ini saya asyik mengulang rutin yang sama.

Kemudian perut berasa lapar, teringat ada jering muda yang diberi abg ipar dari kampung. Segar dari kebun. Alo lo, ambil sambal belacan yang dibuat semalam, goreng ikan masin, masak nasi panas, ambil ulam belalai gajah yang ditanam didepan rumah. Tidak dilupakan bancuh indocafe 3 in 1 satu.

Sekarang, letak nasi panas dengan kicap, cicah jering dengan sambal belacan, letak ulam belalai gajah , kepalkan bersama nasi panas dan letak sedikit ikan masin.

Krup, krup, krup, bunyi jering muda segar dikunyah

Suap satu lagi, krup… krup… krup, ohhhooo sedapnya! Hirup air panas indocafe… :))

Sedap sedap sedap!

Nikmatnya…. 

Habis makan, berpuas hati sendiri. Menikmati satu dari nikmat dunia… jering muda.

Terima kasih Allah.

Kemudian ke laman rumah, bunga jasmine yang ditanam suami sudah berbunga, berbau harum… bunganya berkembang penuh, hanya satu pokok tapi bau harumnya boleh dihidu di keseluruhan laman.

Jadinya hari ini bukan hari yang bosan lagi. Jering muda dan bunga jasmine itu telah mengubah hari saya.

Memandang ke langit, cantiknya berwarna biru… sangat tenang, banyaknya nikmat Allah untuk hambanya di muka bumi. Apabila merenung sejenak, betapa Dia Maha Penyayang mengurniai begitu banyak perkara-perkara yang kelihatan kecil untuk dinikmati tetapi bila dihayati memberi sejuta kegembiraan dan kebahagiaan.

Allah Ya Allah, terima kasih lagi sekali ya Allah. Terima kasih sangat sangat. Sungguh tidak satu pun nikmatMu yang dapat kudustai.

Senyumlah.... :)

Saya selalu percaya saya ada tiga hikmat yang boleh memberi magis dalam kehidupan. Salah satunya tentulah “senyuman”  . Tapi yang ikhlas sahaja. Senyuman yang tidak ikhlas tidak dikira. Cubalah senyum hari ini… senyum kepada semua, apa jua keadaannya, di mana sahaja… nanti anda akan jumpa magisnya 

Monday, May 27, 2013

Ajaibnya Doa

Sewaktu mengisi minyak, bertegur sapa dengan kakak di pam sebelah, tidak tahu kenapa tiba-tiba dia begitu mesra bertanya itu dan ini… sudahnya dia mengadu pelbagai hal rumah tangganya pula.

Aduhai, saya tersenyum, mengangguk-ngangguk, tersenyum lagi… mengangguk-ngangguk lagi… tak tahu apa yang harus dikatakan. Jujurnya hati saya sebal mendengar dia bercerita kisah rumah tangga yang saya fikir tidak sesuai untuk diceritakan kepada saya… stranger yang baru dikenali….

Tapi, entahlah mungkin dia tidak ada sesiapa yang dapat mendengar, mungkin sudah tidak tertahan… barangkali dia telah memendamnya bertahun-tahun… siapa yang tahu?

Akhirnya bila dia berhenti bercakap, saya hanya mampu berkata… "bersabarlah ye kak, saya doakan semuanya akan baik semula".

Saya ingin berkata lagi, tetapi tersekat di dada. Saya ingin katakan, mungkin doa boleh menyelesaikan masalah kakak, meminta manusia berubah secara lisan mungkin tidak sampai ke hatinya, malah sampai ditelinga sahaja sudah ditepis, terbang melayang… suku pun tidak masuk ke hati. Ajaibnya doa, tidak didengar dengan telinga tetapi boleh didengar dengan hati .. dengan izin Allah boleh menggegar ke jantung hati…. Menyalur rasa ke otak dan tindakan.

Saya juga ingin katakan, semua rumah tangga pasti ada masalah, ada hari-hari yang gembira, pasti ada juga hari-hari yang menyedihkan hati. Sebuah keluarga yang punya nakhoda kuat dan bijaksana pun mungkin boleh menyatukan matlamat tapi menyatukan hati dan perasaan belum tentu…..

Saya juga ingin katakan, bersabarlah kak…, percayalah (selalunya mmg begitu…), disetiap badai yang melanda pasti ada hikmah disebaliknya. Waktu sukar satu hari pasti akan berlalu, diganti pula dengan hari-hari yang cerah dan gembira, begitulah putaran kehidupan. Bukankah peribahasa “hidup ini umpama roda” telah diceritakan sejak zaman berzaman….?

Tetapi... itulah, tidak terluah pula... hanya senyuman dan doa untuk kakak itu.

Allah ya Allah, Kau permudahkanlah urusan kakak itu ya Allah... Kau lenyapkan kesedihannya... Kau tukarkan takdirnya menjadi takdir yang baik-baik dan membahagiakan hatinya sehingga ke akhir hayatnya.

Allah ya Rahman, Allah ya Rahim.... sudahilah hidup kami semua dengan kesudahan yang baik ya Allah, selamatkan kami dari api nerakaMu....

Ibu dan Anak

Aduhai , tadi di dalam toilet awam ada drama ibu dan anak. Ibu muda dengan anaknya yang barangkali usianya baru 5 ke 6 tahun.

Si anak menangis menjerit-jerit tidak mahu memakai baju yang ingin disarung ibunya. Si ibu pula terus terus memaksa. Akhirnya dengan cubitan dan jegilan mata, si anak mengalah juga memakai baju sambil terpisat-pisat menangis.

Mulanya saya berasa geram dengan si ibu, kenapa harus dipaksa juga anak itu memakai gaun itu sedangkan saya lihat di begnya ada baju yang lain… tetapi kemudian saya teringat semasa Jannah kecil, berlaku juga drama sebegitu antara saya dan Jannah. Sibuk saya memaksa dia menggayakan baju ala-ala puteri sedangkan Jannah mahu memakai seluar dengan t-shirt kartun hero lelaki! Sibuk saya menggayakan rambutnya dengan segala bagai perhiasan sedangkan dia sibuk mencabutnya sekejapan itu juga.

Kenapa ya selalu ibu-ibu ingin menentukan apa yang diperlukan oleh si anak? Barangkali kerana perasaan ‘over protective’ atau tentu sahaja kerana sayang… Ibu selalu mahu yang terbaik, yang terhebat, yang termanis, yang tercantik dan segala yang ter.. untuk anaknya.

Begitu juga bila mereka dewasa, begitu banyak pesanan, pantang larang dan kekangan dalam memilih untuk kehidupan… Saya kira sama seperti ibu lain, saya hanya takut jika anak yang disayang terluka perasaannya atau terluka fizikalnya. Jadi segala macam kekangan dan larangan yang dinyatakan ibu itu kalau dapat difahami anak, ia hanyalah ayat yang sama maknanya, “ berhati-hati, ibu mahu kamu selamat dan terhindar dari kesedihan”.

Anak saya Ika juga sudah dewasa, saya dan suami sedaya upaya cuba mengawal keinginan untuk menentukan segalanya untuk dia. Biarlah dia membuat keputusan untuk hidupnya… kalaupun dia tersilap atau terjatuh, dia akan ada kenangan dan pengalaman… Kami fikir itu lebih baik dari menjadi orang yang takut mencuba. Asal dia menjadi seorang wanita solehah dan berakhlak mulia, sudah cukup berharga bagi kami. Tidak menjadi hebat di dunia tidak mengapa asal hidupnya tenang dan bahagia. Oh, tentu sahaja kami berharap dia mendapat suami yang soleh, yang dapat membawa dia ke syurga…

Sebenarnya saya dan suami juga entah telah berapa kali gagal, terutamanya dalam perniagaan. Pernah juga berasa kecewa, tetapi kemudian – kemudian waktunya ia jadi cerita yang manis. Kegagalan – kegagalan itu menjadi pelajaran berharga yang tidak diajar di sekolah, malah di university pun… Cerita-cerita itulah yang dapat diceritakan untuk dijadikan pengajaran kepada generasi seterusnya. Kepada generasi sebelum, atau kepada rakan seusia, ia menjadi cerita-cerita pengalaman diri yang menyeronokkan untuk dikongsi dan dikenang.

Apa salahnya sekali sekala kita melakukan kesalahan asal bukan yang dimurkai Allah..

Apa salahnya kekadang tersilap membuat pilihan.

Apa salahnya sekali sekala terjatuh, bukankah kita punya kaki..? Boleh bangun dan berlari lagi…

Mengapa terlalu takut dengan kegagalan? Bukankah ‘tidak berani mencuba’ itu juga satu kegagalan?

Allah ya Allah, jadikanlah kami orang-orang yang sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik dari semalam… berikan kami kekuatan untuk memberi yang terbaik dalam apa jua yang diusahakan. Jauhkan kami ya Allah dari menjadi orang yang malas dan meminta-minta.

Ibu Mertua

Ibu mertua saya datang ke rumah 

Seronok! Selalunya sangat susah untuk membawanya keluar dari rumahnya. Dia sering beralasan tidak mahu meninggalkan rumah kerana dipesan arwah bapa mertua untuk menjaga rumah… 

Ibu mertua saya suka bercerita, kadang kala saya tidak berapa dengar butir bicaranya kerana dia bercakap agak laju dan sesetengah perkataan kedengaran jelas pelat jawanya… Hampir separuh usia perkahwinan saya dengan anaknya, saya masih meneka-neka perkataan yang disebutnya :)) Pada kebanyakan masa saya akan tersenyum, mengangguk-angguk dan bertanya seperti saya faham… kadang kala tertangkap juga kerana jawapan yang diberi tidak selari dgn soalan yang dikemukakan :))

Saya sayang ibu mertua saya. Dia tidak pernah menghakimi saya… walau saya tahu dia sangat sayangkan suami saya, anak manja bongsunya, tetapi dalam kebanyakan hal dia selalu memenangkan saya berbanding suami.

Dia juga sangat berdikari… sedari kecil hidupnya sentiasa menjaga orang lain.. sedaya upaya dia ingin melakukan semuanya sendiri. Malah boleh pula menghulur upah kerana saya menolongnya mengemas rumah…! comel...….

Satu hal yang istimewa tentang ibu mertua saya juga adalah dia seperti boleh merasa-rasa. Six sense barangkali… keluarga suami ada anugerah begitu. Bila ada saudara dekat yang meninggal, atau ada yang mengandung, bersalin, sakit, dianiaya dll… dia selalu seperti mendapat alamat… Arwah bapa mertua juga begitu… suami juga begitu...

Keluarga suami juga pandai mengubat… mengurut… hal-hal yang begitu. Saya ingat di awal perkahwinan, saya demam… puas mengajak suami ke klinik tapi mereka mencadangkan saya makan herba ini.. tampalkan daun itu… jamu ini… maajun itu… terpisat-pisat saya ditepi katil menangis, merajuk dengan suami sambil berkata, “Kalau saya demam ayah dan ibu saya tidak bertangguh menghantar saya ke klinik”.

Allah ya Allah, dangkalnya saya… bertahun berlalu baru saya memahami betapa berubat dengan alam semulajadi banyak manfaatnya… sewaktu Jannah demam tidak kebah-kebah, suami melumur seluruh badannya dengan daun bunga raya. Baik segera. Hari itu juga demamnya surut.

Berbeza cara didikan, berbeza beberapa pandangan… saya menemukan sebuah keluarga yang melengkapkan diri. Kasih sayang yang tidak diungkap dengan kata-kata tetapi penuh sarat boleh dirasa dengan hati.

Terlalu banyak perkara yang saya sangat berterima kasih kepada mertua. Tidak terbilang banyaknya…

Salah satunya tentulah kerana merestui anak mereka untuk menjadi teman jiwa saya… matahari, bulan dan bintang saya…Allah ya Allah, terima kasih kerana mengurniakan mereka ke dalam hidup saya…

Terima kasih ya Allah.

Terima kasih ya Allah.

Terima kasih ya Allah.

Kreatif dan Comel

Suami baru mendapat gergaji elektrik kecil. Kemudian ada pula orang yang menjual kayu bundle yang sangat murah. Wah! Seronoknya dia mendapat hobi baru.

Teruja melihat dia menghasilkan pelbagai peralatan menarik dan comel. Bekas bunga, kereta sorong beroda empat, menara bunga kuning, pagar-pagar kecil. Berpeluh-peluh dia seharian mereka cipta . Selepas siap, dia pun berbangga-bangga menghadiahkannya kepada saya :))

Oh! Saya rasa jatuh cinta melihat dia menghasilkan barang-barang kreatif itu. Sangat suka melihat hasil kerja yang comel (seperti lukisan comel As Niza)…. Kecomelan sentiasa membuat hati rasa berbunga-bunga, automatik tersenyum senyum sendiri. Aduhai… bertuahnya mereka yang Allah kurniakan bakat kreatif, boleh membuai perasaan orang-orang tangan kejung seperti saya :))

Kata orang, jodoh kita selalunya berlawanan sifat dengan kita. Orang yang peramah mendapat pasangan yang pendiam. Yang suka ketawa mendapat yang suka senyum senyum kelat, yang pandai masak mendapat yang suka makan (saya! Saya!), yang kreatif mendapat yang suka melihat barangan kreatif tetapi tidak pandai menghasilkannya (saya juga!)

Allah ya Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, Terima kasih yang tidak terhingga atas segala yang dikurniakan kepada saya… termasuk yang sanggup bersusah payah membuatkan saya barang-barang comel itu…

oh! saya sayang dia 

Dong Dong Ceng

Jiran saya berbangsa cina. Seminggu lepas, mereka mengadakan acara memperingati nenek moyang secara besar- besaran. 4 khemah dipasang di laman rumah mereka. 

Semasa kecil, apa saja acara kaum cina yang melibatkan bunyi-bunyian, saya panggil sebagai acara ‘dong dong ceng’. Ia istilah yang terlahir kerana itulah bunyi yang saya dengari… 

Dong dong ceng!

Dong dong ceng!

Jadinya seminggu lepas, setiap hari selama tiga hari berturut-turut, dari jam 6.30 pagi hingga malam, hampir sepanjang masa saya mendengar bunyi itu… sebenarnya sudah lama saya tidak mendengarnya. Dulu semasa kecil saya pernah melihatnya di kampung. Terutamanya jika ada kematian, selain bunyi-bunyian sepanjang jalan ada juga perarakan kereta dan pejalan kaki yang didahului dengan barisan orang-orang yang diupah menangis dan berpakaian serba hitam. Barangkali masyarakat cina zaman sekarang juga sama seperti masyarakat ‘kita’ yang semakin melupakan acara-acara keagamaan.

Selain bunyi-bunyian saya lihat ada pelbagai pepatung kertas yang menarik. Saya kira ianya untuk dibakar bagi ‘dihantar’ kepada nenek moyang mereka. Setiap hari saya mencuri lihat dan melapor kepada suami.

“Bang, ada seekor kuda putih besar dengan pahlawan”

“Hari ini ada kereta biru besar dengan pemandu berbaju dan bertopi putih”

“Kuda besar sudah ada banyak kuda kecil sebagai pengiring”

“Ada pembantu rumah juga… ramai, semua seperti membawa bakul”

“Wah, rumahnya cantik! Juga ada banyak tandu!”

Kelihatannya seperti mereka menghantar sebuah kerajaan ke sana. Aduhai, kesian juga dengan bibik terpaksa b erulang kali menyapu laman kerana kertas terbakar yang berterbangan. Melihat persiapan dan jamuan yang disediakan, saya kira mereka habis puluhan ribu ringgit untuk acara itu. Berbelas orang saudara mereka juga diterbangkan khas dari China untuk menyertai acara itu.

Sebenarnya, disebalik semua yang saya lihat itu saya terfikir… bila saya sudah pulang ke ‘sana’ kelak, adakah yang akan mengingati saya… mendoakan saya… dan adakah selama ini cukup doa yang saya kirim buat semua yang saya sayang.

Allah ya Allah, terangkanlah kubur arwah datuk-datuk dan nenek-nenek ku, juga arwah bapa mertuaku…

Lapangkanlah kubur mereka, ampuni segala dosa-dosa mereka semasa hayat mereka dan tempatkanlah mereka di kalangan orang-orang yang beriman….

Marah

Ada hari yang saya bangun dari tidur hanya berkelip-kelip mata, tiada perasaan.

Ada hari yang saya bangun sangat bersemangat, seperti ingin melompat katil… kepala ligat memikir dan merancang, banyaknya kerja hari ini! Bersemangat! Berusha!

Ada hari yang saya bangun, hati berasa sebal… emosi, kekadang hanya sebab bermimpi sedih.

Apa pun perasaannya, ok bagi saya, asal bukan perasaan benci dan marah. Saya tidak betah dengan perasaan itu. Suatu waktu dulu saya pernah hampir terlupa erti hidup kerana membiarkan perasaan itu menguasai diri. Ianya tidak lama. Tidak hingga berbulan. Namun berhari itupun membuat saya jadi seperti tidak kenal diri sendiri…

Saya teringat pesan arwah nenek, biar berasa sedih… jangan menyimpan marah.

Saya kira pesan nenek itu sangat benar… sedih boleh membuat kita semakin dekat denganNya kerana mengharap. Sedang marah akan membuat kita jauh dariNya. Marah dan dendam akan memakan diri, memakan sifat-sifat yang baik, memakan kebahagiaan, memusnahkan cinta. Akhirnya kita seperti hilang diri sendiri, menjadi orang yang tidak kita kenali… kepada diri sendiri dan kepada orang yang kita sayang.

Lagipun, apabila kita merasa marah kepada seseorang.. Orang yang di marahkan itu mungkin hanya terkesan sebesar zarah, mungkin juga jadi keseronokan kepada dia melukakan hati orang. Justeru mengapa membiar diri huru-hara untuk orang sebegitu?

Justeru, apabila seseorang berkongsi rasa meluahkan perasaan marahnya kepada saya baru baru ini, saya jadi tidak tahu apa yang harus dikatakan. Berkali-kali saya memujuknya supaya maafkan orang yang melukakan hatinya, “ doakan saja”, pesan saya. Tapi, itulah….. dia yang merasa, saya tahu ianya bukan mudah. Mungkin juga dia rasa saya tidak memahaminya. Tapi sebenarnya saya sangat kesian kan dia, saya memahami apa yang dirasanya, saya juga tahu bukan mudah untuk menarik diri keluar dari lingkaran perasaan itu.

Mungkin itulah sebabnya Rasulullah meninggalkan pesan bahawa orang yang benar kuat bukan yang menang dalam perkelahian, tetapi orang yang dapat menguasai marahnya.

Allah ya Allah, kami berlindung denganMu dari mainan syaitan yang direjam, jauhkan kami ya Allah dari rasa benci dan dendam.. lembutkan hati kami ya Allah untuk mudah memaafkan. Selamatkan kami dari api nerakaMu ya Allah.
Sesungguhnya hanya kepadaMu tempat kami bermohon.

Pilihanraya

Rumah di kampung itu menyimpan banyak memori.

Sentiasa meriah bila menjelang pilihanraya. Seingat saya rumah itu pasti menjadi markas bilik gerakan setiap kali pilihanraya, dari saya kecil hingga kini… tidak pernah gagal .

Dulu semasa kecil, rumah kami tidak begitu besar, ayah merentang tali berpusing-pusing di dalam rumah, lalu saya dan adik adik meletak poster / bendera kecil ditali dan Tap! Stepler kan ia… Seronok!

Rindunya ingin pulang ke kampung…. Merasai kemeriahan…

Tak sabar untuk balik mengundi.

Allah ya Allah, semoga semuanya berjalan lancar, semoga yang dipilih pemimpin yang benar.

Sizzling Berapi

Minta maaf, minta maaf, beri laluan... Api! Api!
Api kecil di atas pinggan sizzling itu menyala hampir setengah meter keudara. 

Teruja! 

Menu baru Chef Awan Api kembali!

Berapi... Berasap.... :))

Menyebutnya sahaja saya sudah gembira. Sebaik ada tempahan, yang didapur sudah sibuk... Sizzling Berapi satu! Hoh... cepat-cepat, ada order sizzling berapi!
Bila tukang masak siap memasak, sibuk kami berebut menghantar ke meja pelanggan. "Saya nak buat! saya nak buat!

Lalu, seorang membawa hidangan, seorang lagi membawa pinggan sizzling.
Sizzling berapi diletak di hadapan pelanggan.
Makanan dicurah.

Whosssh! Api menyala!

Chosss...sstttssstt... bunyinya menarik perhatian!

Suasana senyap seketika, seluruh restoran memandang..

Pelanggan teruja.

:)) Seronok. Seronok. Seronok!

Kami tersengih-sengih... seronok sendiri!
Tetapi memang seronok menghidangnya 

SEMESTI

Semalam ada kursus di Sabak Bernam. Dalam perjalanan ke sana, saya lalu di sekolah lama… Sek. Men. Sains Teluk Intan (SEMESTI).

Segalanya masih terlihat sama… bangunannya, landskapnya… hanya pokok –pokoknya sudah besar dan tinggi. Auranya juga sama. Saya berhenti sejenak dipintu masuk, perasaan dan debaran yang sama masih terasa seperti 25 tahun dahulu (suku abad, sudah begitu lama rupanya….). 

Berbunga-bunga hati saya melihat sekolah itu… teringat pelbagai kenangan yang rasanya semuanya indah… semuanya bernostalgia, hatta bunga kuning di tepi jalan itu…

Persahabatan dengan rakan-rakan lama juga terasa masih hangat, semuanya begitu berbekas di hati.

Melihat padangnya… terbayang-bayang kelibat Cikgu Alimuddin yang mengerah kami berlari mengelilingi sekolah merentas padang itu setiap petang. Kalau tidak kerana semangatnya, selalunya saya hanya akan duduk-duduk sahaja dengan teman di bawah pokok semasa ‘waktu main petang’. Sudahlah tidak beriadah, kelam kabut pula beratur membeli air bergas di vending machine… :))

Kemudian dari jauh saya lihat dewan makan, aspura dan aspuri. Mengenang waktu makan memang seronok. Bunyi sahaja loceng berlari kami bergegas ke dewan makan. Sarapan pagi, minum pagi, makan tengahari, minum petang, makan malam dan makan sebelum tidur. Kata orang, nasi kawah tidak sedap, tapi bagi saya ok sahaja… semua yang dihidang di dewan makan itu sedap belaka :)) .

Saya juga teringat bagaimana puteri-puteri mengintai putera-putera ragbi berlari dalam barisan dihujung minggu. Berderap-derap bunyi kaki mereka berselang seli dengan lagu yang dinyanyikan sambil berlari,

“ SEMESTI no. 1,
Tujuan kami hanya satu,
Berdenting - tang - berdentang - jatuh terlentang,
SEMESTI pasti menang”

Tambah seronok bila cikgu menyuruh mereka mengejutkan puteri yang masih belum bangun. Mereka beratur dalam barisan bertolak-tolak sambil menjerit “ BANGUN! BANGUN! “ di depan Aspuri. Terkekek – kekek kami, pelajar perempuan di sebalik tingkap. Alahai... 

Ada juga pengalaman seram dan menjengkelkan pada waktu itu, tetapi bila dikenang kini ia menjadi lucu. Contohnya, sewaktu tingkatan satu saya sering bangun jam 4 pagi, berjanji dengan Ainita Ban untuk mencuci baju. Kononnya untuk merebut tempat mencuci pakaian. Sudahnya satu hari, sewaktu ingin menjemur pakaian, saya dikejutkan dengan Olen (panggilan kami untuk orang minyak yang tidak berbaju) yang melompat-lompat ditepi pagar! Bergegar seluruh asrama dengan jeritan saya pagi itu!

KAmi juga pernah berbondong-bondong ke tandas sekolah jam 5 pagi untuk mandi kerana asrama tiada air. Pernah tergolek kerana berlari-lari di gajah menyusur. Mogok makan kerana dipaksa pengawas memerah p** yang masih berdarah... Alahai... mogok yang tak jadi , petang itu elok sahaja habis sepinggan nasi kerana lapar :))

Kenangan lain seperti solat berjemaah, pertandingan menghias dorm, jamuan akhir tahun, inspection hari sabtu, detention class, minggu orientasi, solat terawih, usrah, prep malam, prep petang, sukan tahunan, siding redaksi majalah sekolah, pengawas, pustakawan, persembahan akhir tahun, pementasan teater… ohh… semuanya seronok untuk dikenang, berbekas dihati.

Oh terlupa! Ada lagi…. hari Rabu, kami beratur membeli dadih. … sedapnya…. Mengapa dadih sekarang tidak ada yang sedap seperti dulu-dulu ye….?

Tidak Terbalas Jasa Mereka.

Tadi saya ke Mydin membeli barang-barang restoran.

Sewaktu beratur untuk membayar, tiga orang kanak-kanak (saya kira sekolah rendah) sibuk memunggah barang ke atas kaunter… 

Masyaallah, banyaknya detik hati saya, segala macam coklat, makanan ringan dan entah apa segala bagai… Tidak lama kemudian datang seorang lelaki… saya kira itu bapa mereka. Melihat pelbagai barang dan makanan di atas kaunter tersebut, lelaki itu semacam terkejut… berkerut-kerut dahinya, kemudian menepuk dahi dan berkata “dahsyatnya…”.

Aduhai, lelaki itu memandang ketiga-tiga anaknya, diam… tapi saya rasa dia berharap akan ada anaknya yang menarik balik belian tersebut… tetapi ketiga-tiganya hanya memandang dengan wajah tidak bersalah… Petugas kaunter pun laju sahaja mengira barang-barang tersebut. Selesai mengira… dia menjumlahkan bil .. RM1076.00. Kelat wajah ayahnya… tapi dibayar juga, anak-anaknya tersengih-sengih gembira menyorong troli.

Allah ya Allah, segera saya teringat kepada ayah saya. Keluarga kami bukanlah kaya raya… tapi seingat saya sejak kecil ayah tidak pernah manidakkan kemahuan kami adik beradik. Apa sahaja yang diingini, ayah usahakan sehingga kami puas hati. Misalnya, jika kami teringin makan buah Epal, ayah akan membeli buah tersebut setiap hari sehingga kami sudah tidak hairan dengan buah tersebut apabila dihidang di atas meja. Semasa kecil saya suka makan Cikedis (sudah tidak ingat ejaannya ), ayah belikan satu plastic besar dan digantung didapur seperti dikedai.

Sehingga sekarang rumah di kampung itu semacam kedai runcit kecil… stok sardine, susu, sotong dalam tin, minyak, telur, pelbagai kopi 3in1 dan segalam macam barang dapur tersusun banyak seperti di kedai. Malah ada satu peti sejuk khas menyimpan pelbagai air tin dan buah-buahan….

Kata ayah, dulu semasa kecil hidupnya susah, makan nasi berlauk jelantah (minyak lebihan menggoreng ikan). Jadi dia berazam yang keluarganya tidak akan susah makan.

Mengenang ayah dan emak, serasa penuh dada saya dengan pelbagai kata tetapi tidak terungkap. Bagi saya, mereka adalah ibubapa terbaik yang seorang anak boleh harapkan. Semoga Allah membalas pengorbanan mereka membesarkan kami adik-beradik dengan syurga tertinggi.

Ya Allah, kasihi dan kasihanilah emak, ayah, ibu mertua dan bapa mertua ku sepertimana mereka mengasihi dan mangasihani kami semasa kecil.

Lindungi mereka ya Allah, berikan mereka kebahagiaan dan ketenangan hidup diusia tua mereka. Ampuni semua dosa-dosa mereka.

Sungguh kami tidak terbalas jasa mereka ya Allah. Allah ya Rahman, Allah ya Rahim… sudahilah kesudahan hidup kami semua dengan kesudahan yang baik ya Allah. Temukan kami semua kelak di jannah Mu ya Allah.

Wednesday, April 24, 2013

Meraikan Kehidupan

Meraikan kehidupan…

Saya teringat beberapa hari lepas sewaktu berhenti di lampu isyarat semasa menghantar makanan untuk catering saya terpandang dua orang lelaki buta yang melintas… mereka saling berpimpin tangan, tersenyum sambil berjalan sambil bercerita. Senang sekali saya melihat mereka. Sama sama tidak dapat melihat dengan mata tapi kelihatannya tiada masalah untuk mereka melintas jalan…

Kemudian, sampai dihujung jalan sewaktu melintas sebuah longkang seorang dari mereka tergelincir dan jatuh ke dalam longkang! Saya sehingga terjerit di dalam kereta kerana terkejut.. Kasihan… sebak … saya menjangkakan mereka akan bersedih juga atas peristiwa tersebut.. tetapi ia jauh meleset… mereka ketawa!

Allah ya Allah, air mata saya mengalir melihat mereka… mereka orang buta tetapi lihatlah mereka meraikan kehidupan mereka.. tidak berduka duka, seolah setiap yang datang.. bahagia, derita, suka dan duka… tetap disyukuri.

Mampukah aku begitu ya Allah… apa jua takdir yang datang, mampukah kuraikan dengan kesyukuran… setiap masa… setiap ketika… apa jua… mampukah aku ya Allah…

Aku mohon pada Mu ya Allah

Aku mohon pada Mu ya Allah…

Tiada daya dan upaya ku melainkan dengan izinMu ya Allah…

Seronok

Seronok. Seronok. Seronok !

Beberapa hari ini otak saya penuh dengan jadual mengurus untuk catering yang kami terima sepanjang minggu ini. Ianya tidaklah terlalu besar tetapi mengujakan kami kerana melibatkan peserta-peserta dari luar negara. Seminggu saya ke hulu ke hilir dengan fail itu… buah apa yang ingin disediakan, di mana mencari air kotak yang murah, jenama apa yang paling bagus dengan budget yang paling melegakan… apa menu yang sesuai, adakah mereka suka makanan ini? Apa bungkusan yang sesuai… oh! Serasa otak saya penuh dengan perkiraan.

Sudah lepas dua hari, ada enam hari lagi….

Sudah rasa sakit belakang, sudah tua :))

Penat, tapi saya gembira bekerja di dapur semula dengan suami… kebelakangan ini kerana kesibukan, jarang kami dapat bersama di dapur restoran itu seperti dulu dulu. Kami bergelak ketawa, memotong sayur, menyusun bungkusan, merasa makanan, memberi komen. Semuanya seronok! Suami asyik perasankan makanan yang dimasaknya sedap :)) Perasan wak tong!

Tapi memang benar acar yang dibuatnya sedap. Paling sedap di Simpang Pulai :))

Selesai, petang tadi kami raikan dengan makan dua biji mangga yang dijumpai dalam peti ais ( Rupanya itu mangga bibik! sorry bibik…. Esok mesti ke pasar mengganti (o _o)’

Allah ya Allah, terima kasih untuk minggu yang gembira…. :))
Banyak sangat :)). Tapi saya memang gmbira minggu ini!

Extra : Tadi sewaktu menghantar makanan ke hotel, macam ternampak seseorang yang dikenali. Teruja, tapi saya sangat comot…. Akhirnya menyorok di belakang pintu… :))