Sunday, September 22, 2013

Elektrik dan paip air

Saya lahir dan membesar di sebuah kampung yang indah. Kampung yang dialiri parit yang mengujakan pemancing. Di parit itulah saya berjaya memancing seekor ikan keli besar yang kemudian saya bawa balik menaiki basikal sambil tersengih-sengih gembira. Sengaja saya meletakkan ikan itu di dalam bakul basikal tanpa berbekas supaya semua orang di tepi jalan mengaguminya. 

Saya generasi kampung yang sempat merasai hidup tanpa bekalan elektrik dan paip air dari kerajaan. Kampung saya merasa elektrik dan paip air hanya setelah saya berumur 10 tahun.

Sebelum itu bekalan elektrik rumah kami diperolehi dari generator rumah jiran. Ayah membayar sewanya secara bulanan. Elektrik hanya ada dari jam 7 petang hingga 11 malam sahaja. Selepas itu kami memakai pelita nyonya (pelita itu ada gambar nyonya). Tetapi biasanya paling lewat jam 10.30 malam kami semua sudah tidur lena dalam kelambu. Keluarga kami dikira sudah amat bertuah, berjiran dengan orang kaya yang ada generator dan ayah yang bekerja sebagai seorang guru mampu membayar sewa generator itu. Lagipun rumah kami ada televisyen. Seribu rahmat jika dibandingkan dengan orang sekampung yang lain. Kebanyakan rumah yang lain hanya memakai pelita, lampu gasoline atau kabaid.

Arwah Embah atuk dan Embah nenek (atuk dan nenek sebelah ayah) memakai lampu gasoline, jadi jika ke rumahnya, menjelang maghrib sibuklah kami ngepam-ngepam lampu itu. Kalau ke rumah atuk dan uwo (atuk dan nenek sebelah emak), saya hanya melihat atuk memasang lampu kabaid.. bau nya tidak berapa enak tetapi cukup untuk menerangi malam kami hingga ke pagi.

Kami membasuh baju dirumah nenek kerana paip air belum masuk, rumah nenek mempunyai pam air, jadi setiap pagi emak akan ke rumah nenek menaiki basikal untuk membasuh pakaian. Jika tidak sekolah, selalunya saya menolong emak mengepam air, menekan dan menarik batang pam air itu ke atas dan ke bawah. Selesai membasuh, kain-kain akan diangkut dengan basikal untuk dijemur di rumah. Ada sekali saya terlanggar batu, habis jatuh bertebaran kain-kain itu di jalan bertanah merah… Aduh, teruk saya dibebeli emak, terpaksa membasuh semula semuanya.

Bagi urusan mandi manda, setiap rumah ada sebuah kolam. Sebab itu kebanyakan anak-anak dahulu pandai berenang. Kami jadikan buah kelapa sebagai pelampung. Kalau mandi bersama sepupu berjam-jam di kolam, bermain goreng kerepek buih, berlakon puteri-puteri … sehingga jari semua kecut, sehingga arwah atuk datang membawa rotan barulah mencicit naik. Kemudian setelah kesejukan, dihidang makanan panas… atau disebelah petang mencicah jambu batu dan buah nam nam dengan sambal kicap. SEDAP NYEEE!

Anak sekarang petik suis, terang benderang… pulas paip menderu-deru air bersih keluar. Tandas semua di dalam rumah, celik mata boleh mendail sahaja untuk sarapan dihantar ke pintu rumah. Tetapi jika saya diberi pilihan untuk memilih 10 tahun hidup tanpa elektrik dan paip air itu dengan kehidupan serba moden sekarang, saya pasti tidak berfikir dua kali untuk memilih yang dulu. Entah apa magisnya, tetapi dari kesusahan hidup saya rasa saya menemui lebih banyak kegembiraan.

No comments:

Post a Comment