Wednesday, April 24, 2013

Meraikan Kehidupan

Meraikan kehidupan…

Saya teringat beberapa hari lepas sewaktu berhenti di lampu isyarat semasa menghantar makanan untuk catering saya terpandang dua orang lelaki buta yang melintas… mereka saling berpimpin tangan, tersenyum sambil berjalan sambil bercerita. Senang sekali saya melihat mereka. Sama sama tidak dapat melihat dengan mata tapi kelihatannya tiada masalah untuk mereka melintas jalan…

Kemudian, sampai dihujung jalan sewaktu melintas sebuah longkang seorang dari mereka tergelincir dan jatuh ke dalam longkang! Saya sehingga terjerit di dalam kereta kerana terkejut.. Kasihan… sebak … saya menjangkakan mereka akan bersedih juga atas peristiwa tersebut.. tetapi ia jauh meleset… mereka ketawa!

Allah ya Allah, air mata saya mengalir melihat mereka… mereka orang buta tetapi lihatlah mereka meraikan kehidupan mereka.. tidak berduka duka, seolah setiap yang datang.. bahagia, derita, suka dan duka… tetap disyukuri.

Mampukah aku begitu ya Allah… apa jua takdir yang datang, mampukah kuraikan dengan kesyukuran… setiap masa… setiap ketika… apa jua… mampukah aku ya Allah…

Aku mohon pada Mu ya Allah

Aku mohon pada Mu ya Allah…

Tiada daya dan upaya ku melainkan dengan izinMu ya Allah…

Seronok

Seronok. Seronok. Seronok !

Beberapa hari ini otak saya penuh dengan jadual mengurus untuk catering yang kami terima sepanjang minggu ini. Ianya tidaklah terlalu besar tetapi mengujakan kami kerana melibatkan peserta-peserta dari luar negara. Seminggu saya ke hulu ke hilir dengan fail itu… buah apa yang ingin disediakan, di mana mencari air kotak yang murah, jenama apa yang paling bagus dengan budget yang paling melegakan… apa menu yang sesuai, adakah mereka suka makanan ini? Apa bungkusan yang sesuai… oh! Serasa otak saya penuh dengan perkiraan.

Sudah lepas dua hari, ada enam hari lagi….

Sudah rasa sakit belakang, sudah tua :))

Penat, tapi saya gembira bekerja di dapur semula dengan suami… kebelakangan ini kerana kesibukan, jarang kami dapat bersama di dapur restoran itu seperti dulu dulu. Kami bergelak ketawa, memotong sayur, menyusun bungkusan, merasa makanan, memberi komen. Semuanya seronok! Suami asyik perasankan makanan yang dimasaknya sedap :)) Perasan wak tong!

Tapi memang benar acar yang dibuatnya sedap. Paling sedap di Simpang Pulai :))

Selesai, petang tadi kami raikan dengan makan dua biji mangga yang dijumpai dalam peti ais ( Rupanya itu mangga bibik! sorry bibik…. Esok mesti ke pasar mengganti (o _o)’

Allah ya Allah, terima kasih untuk minggu yang gembira…. :))
Banyak sangat :)). Tapi saya memang gmbira minggu ini!

Extra : Tadi sewaktu menghantar makanan ke hotel, macam ternampak seseorang yang dikenali. Teruja, tapi saya sangat comot…. Akhirnya menyorok di belakang pintu… :))

Terasa Dia Menyayangi Saya

Semalam petang hujan turun lebat di Simpang Pulai. Sewaktu mengambil anak pulang dari sekolah, jalan raya sudah sesak, sesetengah tempat air naik ke atas jalan… 

Saya sudah lambat mengambil anak sekolah, belum membeli nenas untuk restoran, pelanggan pula telefon tidak berhenti dengan pelbagai perkara, yang nak masuk homestay, yang ingin berjumpa untuk catering… alamak, homestay belum dikemas lagi! teringat pula suami puasa, sempatkah menyediakan makan berbukanya? Kemudian suami pula menelefon, “Yang, Awan dan Mala (kucing kami) memecahkan cermin almari perhiasan”.

Oh Tuhan! Nafas terasa sempit…

Sibuk dan kalut.

Hampir saja kereta saya bergesel dengan kereta lain sewaktu ingin membelok kerana tidak sabar…

Allah ya Allah, sebenarnya saya boleh memilih untuk berasa tenang. Tidak perlu kalut tidak keruan. Berasa kalut atau tidak, saya tidak berupaya melancarkan trafik… Akhirnya saya menarik nafas dalam-dalam, mula membaca doa melancarkan urusan “Rabbi Yasirli Wa la tuasir, Rabbi Tamim Bi Khair”. Saya baca berpuluh kali, memohon Allah permudahkan urusan saya.

Allah ya Rahman, Allah ya Rahim…. Aneh, jalan seperti lancar selepas itu, sewaktu dlm perjalanan balik dari mengambil anak sekolah saya mendapat ilham untuk lalu melalui jalan dalam yang saya ingat ingat lupa jalannya… Alhamdulillah, kereta meluncur laju, singgah sebentar membeli nenas dan menghantar anak pulang ke rumah. Setelah itu saya bergegas ke restoran untuk bertemu pelanggan catering, melihat jam saya terlewat 15 minit dari masa yang dijanjikan… sampai di restoran saya lega , pelanggan tersebut belum sampai. Setelah beliau sampai, sambil berbincang saya minta tukang masak menyediakan makanan untuk suami berbuka… kemudian dalam perjalanan pulang singgah menghantar kunci untuk pelanggan homestay, dia juga lewat sampai… sempat mengemas homestay dulu :) . Pulang ke rumah anak saya sudah membersihkan cermin yang pecah… selesai semuanya dalam masa 2 jam…

Alhamdulillah.

Sebak saya…. Terima kasih Allah… terasa Dia sangat menyayangi saya….

Fasa Perkahwinan

Setiap kali Allah memberi ujian dalam hidup pasti selepasnya ada nikmat yang tidak terduga. Saya selalu merasakan Allah memberi ujian untuk saya bersedia melalui fasa kehidupan yang seterusnya.. Supaya saya boleh berfikir dan menghadapi sesuatu situasi dengan cara yang lebih baik. Supaya saya menghargai setiap detik yang saya lalui dalam hidup.

Melalui fasa perkahwinan, separuh tahun tahun awal saya terkenang betapa kerapnya saya merajuk dengan suami. Merajuk suami tersalah cakap, merajuk suami bersepah-sepah, merajuk suami tak tahu saya tidak suka begini atau begitu, yang ini atau yang itu, merajuk suami tidak memujuk, … :))

Ada sahaja yang dirajukkan… mengharap suami menjadi sempurna sedang diri sendiri begitu jauh dari kesempurnaan!

Namun setelah 15 tahun hidup bersama, saya tidak lagi kerap merajuk. Masih ada hari hari yang saya berkecil hati, namun selepas berjuraian air mata membasahi bantal, saya lupakan sahaja perasaan itu. Sebenarnya saya takut hidup saya
tidak lama, sedang saya masih berhiba-hiba, bagaimana jika Allah memanggil seorang dari kami pulang kepadaNya. Saya takut suami tidak merasa betapa saya menghargai setiap detik bahagia yang dibawanya dalam hidup saya.

Tak terdaya saya hendak merajuk berlama-lama mengenangkan banyaknya kegembiraan dan kebahagiaan yang telah dia beri kepada saya.

Lagipun, saya malu kepada Allah… Saya malu mengenangkan betapa saya ini tidak sabar dengan ujianNya. Bersedih-sedih berduka lara apabila diuji beberapa bulan, tidak saya ingati bertahun tahun Allah beri fasa yang bahagia dan bergelak ketawa.

Allah ya Allah, Kau ampunilah kami ya Allah. Allah ya Rahman, Allah ya Rahim… semoga Kau berkati keluarga kami dan Kau beri kami kekuatan untuk hidup dengan cara yang Kau redhai.

Terima kasih ya Allah.

Saling Memerlukan

Malam tadi pulang dari restoran perut saya sakit memulas-mulas… 

Pembuat air cuti, biasanya ada yang boleh mengganti, tapi malam tadi memang tiada pilihan… saya yang kena menggalas tugas itu… Beberapa bulan yang lepas saya tidak merasa susah mengganti tugas membuat air. Ini kerana semasa mula membuka restoran itu saya sepakat dengan suami yang dia akan membangunkan dapur masakan manakala saya membangunkan tempat membuat air. Lagipun pada masa itu ada Hairi, pembuat air yang paling bersemangat di Simpang Pulai! :) Banyak yang saya pelajari dari dia tentang hal-hal membuat air… Jadi apabila ada masalah pekerja di bahagian air tidak menjadi masalah untuk saya menjadi pengganti…

Tapi sekarang, sudah berbulan bulan saya bersenang-senang sebagai boss (:P) yang memantau mantau dan mengarah sahaja… Allah ya Allah, barangkali malam tadi Dia ingin memberi saya pengajaran yang berharga…

Mulanya saya rasa ok sahaja, tetapi tiba-tiba order datang bertimpa-timpa… Oh, Tidak! Si kalut ini mulalah kelam kalibut… Si Aisyah pembantu di bahagian air pula asyik merenung saya membuat air. Dia menunggu saya siap untuk menghantar air itu… “Aisyah, jangan pandang akak!” Aisyah ketawa dan beralih ke tempat lain, sedar-sedar saya sudah meletak dua sudu milo ke dalam air bandung! Nasib baik Aisyah tak nampak ( o_o)’. Kalutnya saya !

Selesai, saya dan Aisyah ketawa… tempat air berselerak.

Teringat saya mengomel ngomel kepada pekerja supaya sentiasa kemas.. sentiasa bersih… kerja mesti teratur… susun dengan baik :)) Jadi, puan yang pandai memantau dan mengarah-ngarah itu memang mendapat pengajaran berguna malam tadi!

Allah ya Allah, Ia peringatan lembut yang menusuk ke hati… sungguh benar Allah menjadikan kita berbeza-beza supaya kita berfikir. Supaya kita saling menghormati. Berbeza bakat, berbeza peranan, berbeza bangsa, berbeza rupa… 


Bukankah itu tanda kebesaranNya?

Pengalaman malam tadi memberitahu saya betapa kami amat memerlukan antara satu sama lain. Setiap seorang pekerja di restoran itu penting… Saya berpendapat tidak ada satu pekerjaan pun yang lebih penting berbanding kerja yang lain. Setiap pekerjaan mempunyai peranan yang sama penting. Mungkin tukang masak itu nampaknya seperti paling penting kerana dia menyediakan makanan tetapi tanpa pembantu depan yang menyenangkan, mungkin pelanggan tak ingin pun untuk merasa masakannya. Makanan yang sedap rasanya tawar jika yang menyajikan makanan menghantar makanan seperti tidak ikhlas.

Allah ya Allah, Allah ya Azim, Allah ya Ghafur, Allah ya Mu’iz, Mudah bagi Mu ya Allah meletakkan siapa yang Engkau kehendaki kepada kedudukan mana juga yang Engkau kehendaki.

Oh, berkenaan sakit perut tadi, saya minum air sirap limau yang tersilap order, kemudian minum air kelapa kerana ada lebih… kemudian air mochacino yang terlebih buat. Selepas itu terkisar tembikai lebih pula semasa membuat order air tembikai… nak dibuang membazir pula. :)) Selepas itu sibuk sibuk pula mengadu kenapa ye perut saya memulas mulas?

Rezeki

Pagi ini, minum secawan kopi dan menjamah nasi lemak dengan aman amat menyenangkan.. Syukur Alhamdulillah Ya Allah, Terkenang dulu saya dan suami sering terkejar-kejar dlm hidup. Berhempas pulas mencari rezeki bagaikan 24 jam sehari tidak mencukupi. Kadang kala saya rasa sangat kepenatan sehingga jika ada yang mempersoalkan pengorbanan utk keluarga saya segera memberontak berkata di dalam hati, tidak cukupkah lagi apa yang saya beri?

Semakin harta dunia ini dikejar ia semakin jauh pergi, benar wang yang datang banyak, tetapi yang pergi lebih banyak. Seolahnya mewah tapi terasa terlalu banyak yang perlu dibayar. Akhirnya kami kepenatan dan mula melihat dari sudut yang lain : rezeki yang berkat. Sesuatu yang dulu seolahnya kami tidak sempat fikir kerana sibuknya mengejar dunia. Terlalu berusaha sehingga lupa pada yang memberi rezeki.

Allah ya Allah,Kau ampunilah kami… sesungguhnya tiada kuasa dan upaya kami ya Allah melainkan dengan izinMu. Sungguh Allah Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani, Dia yang Maha Melihat lagi Maha Mendengar. Memohon pada Allah menjadikan usaha yang sedikit tapi cukupnya banyak, berbanding dulu usahanya tidak keruan tetapi sering tidak cukup cukup… Merenung perjalanan hidup 38 tahun, sungguh benar saya tidak mampu langsung mendustakan nikmat dan rezeki yang telah diberi olehNya. Terima kasih ya Allah…. :)

Bibik Yati

Dalam sibuk sibuk nak menghantar anak ke sekolah pagi tadi, hati saya menyirap sedikit melihat almari menyimpan barang kering masih belum dikemas oleh pembantu rumah. Saya telah meminta almari itu dikemaskan sejak 2 hari yang lepas... dia lupa... Pembantu rumah saya orangnya sudah agak berusia, di negaranya telah punya seorang cucu. Memang sejak kehadirannya saya tidak mengharapkan banyak dari dia. Orangnya baik dan manis hanya sedikit kekurangannya dia cepat lupa. Saya perlu ingatkan dia beberapa kali untuk satu perkara. Pagi tadi saya mengingatkan tugasannya tanpa senyum, saya lihat riak bersalah pd wajahnya. Pulang dari menghantar anak sekolah, saya melihat kain sudah dijemur, disusun dgn cantik dan kemas.. Segera saya teringat dulu semasa saya yang perlu menjemur kain, selalu saya terkejar-kejar asalkan berjemur sahaja sudah cukup bagus, kadang kala hanya bersangkut begitu shj. Allah ya Allah, rasa menyesal dengan apa yang saya rasa.... Pembantu rumah itu nikmat dari Allah yang tidak mampu saya dustakan. Kehadirannya banyak membantu mengurangkan beban kerja sehingga saya boleh berehat rehat dan membaca buku kegemaran saya.... Ampunkan saya ya Allah. Saya bersyukur kepdaMu kerana menghadirkan 'bibik Yati' dlm keluarga kami... Terima kasih suami... terima kasih Allah.