Saturday, March 8, 2014

Katak

Seorang teman sewaktu di sekolah rendah sering sahaja menyakiti hati saya.

Gemuk!

Batang Pisang!

Gemuk Gemuk Gemuk!

Eiiiiiiiiii…. Geramnya! Bagi seorang kanak-kanak, ejekan-ejekan itu menusuk nusuk dalam jiwa saya, menimbulkan perasaan sebal yang bukan sedikit.

Satu hari, dia melukis karikatur katak. Wah, comel! Saya melihat dengan kekaguman,

“Cantik, boleh ajar saya. Saya tidak pandai melukis katak”

“Boleh, senang sahaja, lukis gambar seperti kepala mickey mouse, lalu lukis dua biji mata yang besar dan letakkan senyuman yang panjang. Sekarang letakkan kaki. Boleh juga ditambah dengan gigi, jerawat bulu mata, apa-apa sahaja. Siap. “

Saya pun mencuba, dan ia menjadi!

Sejak itu, saya kira saya telah melukis katak itu ribuan kali.

Saya lukis untuk menggembirakan hati saya.

Saya lukis untuk menunjuk-nunjuk kepada kawan.

Saya lukis untuk menggembirakan hati orang-orang yang saya sayang.

Saya lukis katak itu semasa sekolah rendah, sekolah menengah, di university, malah sehingga kini. Saya telah menurunkannya kepada Ika, Jannah, adik-adik saya dan entah berapa ramai lagi kanak-kanak.

Untuk si tangan kejung yang tidak pandai melukis ini, lukisan itu menyelamatkan saya dari menjadi ‘makcik yang bosan’ kepada ‘makcik yang hebat’ di mata kanak-kanak.

Kalaulah rakan saya itu ada lagi, saya ingin sekali katakan kepada dia yang segala sakit hati saya telah sangat berbayar dengan lukisan nya itu, namun dia telah tiada, pergi tak kembali.

Semoga Allah mengampuni semua dosa-dosanya semasa hayatnya dan menempatkannya di JannahNya.

Ilmu yang ikhlas itu saya kira antara harta yang paling baik untuk diberi atau diterima, walau ia ilmu yang sangat ringkas.

Terima kasih kawan, damailah engkau di sana.





No comments:

Post a Comment