Wednesday, April 24, 2013

Fasa Perkahwinan

Setiap kali Allah memberi ujian dalam hidup pasti selepasnya ada nikmat yang tidak terduga. Saya selalu merasakan Allah memberi ujian untuk saya bersedia melalui fasa kehidupan yang seterusnya.. Supaya saya boleh berfikir dan menghadapi sesuatu situasi dengan cara yang lebih baik. Supaya saya menghargai setiap detik yang saya lalui dalam hidup.

Melalui fasa perkahwinan, separuh tahun tahun awal saya terkenang betapa kerapnya saya merajuk dengan suami. Merajuk suami tersalah cakap, merajuk suami bersepah-sepah, merajuk suami tak tahu saya tidak suka begini atau begitu, yang ini atau yang itu, merajuk suami tidak memujuk, … :))

Ada sahaja yang dirajukkan… mengharap suami menjadi sempurna sedang diri sendiri begitu jauh dari kesempurnaan!

Namun setelah 15 tahun hidup bersama, saya tidak lagi kerap merajuk. Masih ada hari hari yang saya berkecil hati, namun selepas berjuraian air mata membasahi bantal, saya lupakan sahaja perasaan itu. Sebenarnya saya takut hidup saya
tidak lama, sedang saya masih berhiba-hiba, bagaimana jika Allah memanggil seorang dari kami pulang kepadaNya. Saya takut suami tidak merasa betapa saya menghargai setiap detik bahagia yang dibawanya dalam hidup saya.

Tak terdaya saya hendak merajuk berlama-lama mengenangkan banyaknya kegembiraan dan kebahagiaan yang telah dia beri kepada saya.

Lagipun, saya malu kepada Allah… Saya malu mengenangkan betapa saya ini tidak sabar dengan ujianNya. Bersedih-sedih berduka lara apabila diuji beberapa bulan, tidak saya ingati bertahun tahun Allah beri fasa yang bahagia dan bergelak ketawa.

Allah ya Allah, Kau ampunilah kami ya Allah. Allah ya Rahman, Allah ya Rahim… semoga Kau berkati keluarga kami dan Kau beri kami kekuatan untuk hidup dengan cara yang Kau redhai.

Terima kasih ya Allah.

No comments:

Post a Comment