Saturday, March 1, 2014

Bunga Straw dan Habib

Ada satu masa sewaktu saya berumur sekitar 20-an, wanita-wanita di Malaysia mengalami fenomena ‘kegilaan bunga straw’. Saya juga turut terbabit. Dalam pada berasak asak dalam komuter sewaktu pulang dari kerja, asal mendapat tempat duduk sempat saya membuat bunga straw. Bunga straw yang telah siap, saya susun rapat rapat dalam bekas seramik atau bakul bakul kecil yang saya dapat dari kenduri kendara.

Setelah siap, suami akan membawa ke tempat kerjanya dan dijual kepada pekerja –pekerja Bangladesh dengan harga RM5 setiap satu :))

Sebenarnya bunga yang saya buat itu tidaklah cantik mana, tetapi mungkin kerana di tempat kerja, suami adalah ketua mereka, maka nya hasil tangan saya yang tidak seberapa itu mendapat permintaan yang tinggi dari mereka. Barangkali mereka cuma ingin mengambil hati suami kerana sebenarnya apa sahaja yang dijual suami pasti mereka beli.

Bila saya kenang-kenangkan… baiknya hati mereka.

Salah seorangnya bernama Habib, baik tutur kata dan bersopan orangnya.

“Habib, nak beli bunga ?”, ok

“Habib, nak beli pisang ?”, oook

“Habib, nak beli t-shirt ?”, oooook

“Habib, nak beli kerepek ?”, oooooook :))

Dia paling rapat dengan suami, tidak sekadar membeli, Habib juga promosi pada semua rakan serumahnya.

Pekerja-pekerja asing semua ditempatkan dalam satu rumah panjang seperti asrama. Mereka pelbagai latar belakang. Ramai juga yang punya tahap pendidikan yang bukan calang calang, ijazah dalam pelbagai jurusan. Malah ada yang mempunyai lebih dari satu ijazah. Namun kerana tidak mendapat pekerjaan di negara mereka, maka mereka merantau kesini mencari rezeki. Di sini, walau pekerjaannya tidak ‘class’ tetapi gajinya setara dengan mereka yang berjawatan besar di sana.

Kerana keluarga tiada disisi, mereka juga bekerja umpama mesin… 7 hari seminggu, malah mengambil OT semaksimum mungkin yang diberikan.

Kelak bila pulang mereka telah mempunyai modal untuk memulakan perniagaan.

Saya ceritakan kisah ini kerana ada seorang remaja mengadu tidak tahan dengan kerjanya, penatlah... kotorlah... boss bisinglah... gaji sikitlah... , kemudian saya tanya beliau telah bekerja berapa lama?

3 hari.

Aduhai adik.... tak tahulah nak nasihat bagaimana, tetapi boss boss ni biasanya kalau kita tidak berkira kerja, in shaa Allah mereka pun tidak berkira memberi gaji. Kalaupun dia berlaku tidak adil kepada awak, yakinlah pada yang memberi rezeki, jika tidak dibayar oleh si 'boss' tadi, kelak pasti dibayar dengan cara yang lain oleh Yang Maha Penyayang.

Jangan stress stress ya! Bekerja sahaja dengan ikhlas, yakin pasti ada ganjarannya nanti 

Allah ya Allah, jadikan kami hambaMu yang sentiasa bersyukur. Berikan kami ketabahan dan ketekunan dalam setiap pekerjaan yang kami lakukan.
2Like ·  · Stop Notifications · Promote · 

No comments:

Post a Comment