Saturday, March 8, 2014

Sarah : Bahagian 4

“Sarah, sudahlah mengelamun tu. Mari, buat tindakan! Berusaha!” Sakinah menggoncang tubuh Sarah sambil membuat memek muka.

Sarah memandang wajah Sakinah tanpa rasa.

“Jom, kita pancitkan kereta dia! Kita simbah cat merah kat pintu rumah dia! Kita pijak-pijak semua bunga kat laman rumah dia!”, Sakinah meloncat-loncat keanak-anakan.

“Sakinah!”, Sarah menjegilkan matanya kepada Sakinah.

“Tak mungkinlah kita akan buat macam tu kan…!”

“Kenapa pulak tak boleh Cik Puan Sarah. Bukan ke dia dah hancurkan hidup Cik Puan?”, Sakinah mengedip-ngedipkan matanya.

“Sebab Allah tak suka kita buat perangai macam tu, orang mukmin tu bersabar bila ditimpa musibah. Orang mukmin tak balas perbuatan jahat dengan perbuatan jahat. Faham!”, Sarah sengaja membuat kerlingan sambil mengetapkan giginya kepada Sakinah.

“Oh, begitu ya kaedahnya Puan Sarah”, ujar Sakinah dengan senyuman sumbing. Dalam diam sebenarnya dia punya perancangan sendiri. Esok dia akan mencari Iskandar, kalau diharapkan Sarah, emmm… asyik redha sahaja menjadi mangsa. Lagipun dia sudah berjanji dengan Dato’ Kamal untuk menjaga Sarah.

Mengingati Dato Kamal, bekas majikannya itu buat Sakinah tersenyum sendiri. Orang yang sangat baik, misteri dan punya karisma yang tidak tertanding. Kalaulah Dato' Kamal masih ada, tidaklah jadi begini... keluh Sakinah di dalam hati.

Terasa masih terngiang-ngiang suara Dato' Kamal, "Sakinah, tolong ya, saya berharap pada awak"

Ring ring.

Sarah segera bangun, langkah dipercepatkan. Usai menjawab panggilan, wajah Sarah berubah, pegangan telefonnya terlepas.

Sakinah segera berlari ke arah Sarah,

“ Kenapa Sarah?”

“Iskandar accident”.


Katak

Seorang teman sewaktu di sekolah rendah sering sahaja menyakiti hati saya.

Gemuk!

Batang Pisang!

Gemuk Gemuk Gemuk!

Eiiiiiiiiii…. Geramnya! Bagi seorang kanak-kanak, ejekan-ejekan itu menusuk nusuk dalam jiwa saya, menimbulkan perasaan sebal yang bukan sedikit.

Satu hari, dia melukis karikatur katak. Wah, comel! Saya melihat dengan kekaguman,

“Cantik, boleh ajar saya. Saya tidak pandai melukis katak”

“Boleh, senang sahaja, lukis gambar seperti kepala mickey mouse, lalu lukis dua biji mata yang besar dan letakkan senyuman yang panjang. Sekarang letakkan kaki. Boleh juga ditambah dengan gigi, jerawat bulu mata, apa-apa sahaja. Siap. “

Saya pun mencuba, dan ia menjadi!

Sejak itu, saya kira saya telah melukis katak itu ribuan kali.

Saya lukis untuk menggembirakan hati saya.

Saya lukis untuk menunjuk-nunjuk kepada kawan.

Saya lukis untuk menggembirakan hati orang-orang yang saya sayang.

Saya lukis katak itu semasa sekolah rendah, sekolah menengah, di university, malah sehingga kini. Saya telah menurunkannya kepada Ika, Jannah, adik-adik saya dan entah berapa ramai lagi kanak-kanak.

Untuk si tangan kejung yang tidak pandai melukis ini, lukisan itu menyelamatkan saya dari menjadi ‘makcik yang bosan’ kepada ‘makcik yang hebat’ di mata kanak-kanak.

Kalaulah rakan saya itu ada lagi, saya ingin sekali katakan kepada dia yang segala sakit hati saya telah sangat berbayar dengan lukisan nya itu, namun dia telah tiada, pergi tak kembali.

Semoga Allah mengampuni semua dosa-dosanya semasa hayatnya dan menempatkannya di JannahNya.

Ilmu yang ikhlas itu saya kira antara harta yang paling baik untuk diberi atau diterima, walau ia ilmu yang sangat ringkas.

Terima kasih kawan, damailah engkau di sana.





Bersabarlah :)

Ada keputusan yang tidak dapat diputuskan hari ini.

Ada masalah yang akan selesai dengan berlalunya masa.

Ada cinta yang akan mekar dengan pengorbanan.

Bersabarlah.

Tidak ada kata-kata yang dapat diungkap lebih dari itu.

Hidup ini memang banyak perkara-perkara yang menghairankan. Hairan, orang yang begitu asing yang entah dimana lahirnya tiba-tiba menjadi seseorang yang sanggup kita korbankan segalanya untuk dia.

Hairan, orang yang begitu dekat dengan tangkai hati, tiba-tiba menjadi orang yang paling asing dari hati.

Cinta itu kurniaanNya. 

Boleh pergi, boleh datang.

Boleh membahagiakan, boleh juga menyakitkan.

Seperti wang ringgit, boleh dicari, digilakan tetapi akhirnya kita sedar bukan itu yang memberi kebahagiaan sebenar.

Tenang, merasa cukup, dilimpahi kasih sayang orang-orang yang dekat dalam hidup, doa ayah dan ibu, melihat anak-anak gembira menyambut kita pulang dari bekerja, senyuman manis teman hidup sewaktu bangun tidur di pagi hari, adik-beradik yang sentiasa ada untuk membantu dikala kita memerlukan, rakan-rakan yang sudi mendengar cerita-cerita kita yang membosankan… bukankah itu lebih bernilai.

Kadang kala kita harus akui bukan siapa betul atau salah yang penting,

Berbaloikah menang tetapi selepas itu hidup jadi sepi. Jangan dirajukkan perkara-perkara remeh.

Seseorang pernah memberitahu saya, ego itu umpama batu besar yang kita tanggung di atas kepala, semakin besar batu itu, semakin berat untuk kita angkat agar tidak menimpa kepala sendiri.

X-tra : Banyak bunga yang tidak dapat bertahan menghadapi musim panas yang menggila. Tetapi cuaca panas ini telah membuat bunga kertas menyerlahkan kecantikan yang mengagumkan. Penuh bunga tanpa daun, sungguh mempesona 
6Like ·  · Promote · 

Monday, March 3, 2014

Sarah : Bahagian 3

Iskandar duduk termangu ditepi katil. 

Sepi. 

Kecewa. 

Entah apa perasaannya, dia keliru dan tidak dapat memahami kehendak diri.

“Kenapa you tulis macam tu….”, Iskandar berkata dengan suara perlahan seolah memohon simpati.

“Why? You marah ke? Apa ni Bi… you janji nak ceraikan dia lepas seminggu nikah, ni apa? Dah 6 bulan Bi… 6 bulan… , then sekarang I dah tolong you, you nak marah I pulak?”, Wanda bangun bercekak pinggang.

“Tapi bukan macam ni caranya.”  Masih suara Iskandar begitu perlahan, hampir tidak didengar Wanda.

“Fine!”, Bentak Wanda.

“Suka hati you lah Bi… Kalau you tak puas hati pergilah pujuk balik minah kampung tu. Telan balik semua hinaan, cacian you kat dia. Kutiplah dia balik. I tak kuasalah dah. Kalau you nak sangat dia, I boleh pergi lah Bi, you ingat I hadap sangat ke?”, Wanda keluar dengan dentuman pintu bilik.

Iskandar diam tidak bersuara. Kalau dulu pasti dia kelam kabut berlari mengejar, memujuk, merayu Wanda. gadis yang diidam-idamkannya siang dan malam. Entah mengapa setelah Wanda telah dalam dakapan, hatinya jadi hambar. Dia tidak merasa getaran apabila bersama Wanda. Tidak seperti semasa Sarah hampir dengannya. Gadis kampung yang naïf dan sering dicerca itu kini selalu membuat jiwanya bergetar, nafasnya menjadi laju, hati jadi tidak keruan.

Jauh disudut hati dia risau dengan perasaannya sendiri. Sudah jatuh cintakah dia dengan Sarah? Kalau benar pun, sepertinya nasi telah menjadi bubur.

Sarah, maafkan Is.

Daddy, Maafkan Is.


Maafkan Is...

Sunday, March 2, 2014

Sarah : Bahagian 2

Hati Sarah berkecamuk, perlukah dia kembali ke rumah itu? perlukah dia mencari Iskandar untuk meminta penjelasan? Benarkah Iskandar telah menceraikannya? Sah kah sms itu?

Mengalir lagi air mata… perlahan-lahan Sarah terkenang perkara yang berlaku semalam…

Usai pintu terkuak, Sarah terkejut bukan kepalang melihat Iskandar lena dalam dakapan Wanda di atas katil.

Wanda memandangnya dengan senyuman sinis.

Air mata Sarah sudah bergenangan di mata tetapi dia bertahan sedaya mungkin untuk tidak menitiskannya.

Tiba-tiba Iskandar tersedar, kelihatan kepalanya sangat berat. Dia menggosok-gosok mata, berbalam-balam pandangannya.

“Sarah?”, Iskandar cuba memanggil Sarah, terasa kepalanya  berat sekali. Dia hampir tidak dapat membuka mata.

Sarah berlari menuruni tangga.

Is, kenapa buat Sarah macam ni, apa salah Sarah pada Is. Kalaupun Is tak cintakan Sarah, Sarah masih isteri Is, perlukah Is lukakan hati Sarah macam ni. Baru semalam hatinya berbunga kerana Iskandar memberi perhatian. Mengapa hari ini begini pula Iskandar melayannya.

Wanda membaringkan kepala Iskandar di bantal. Dua biji pil diberi lagi kepada Iskandar.

“Makan ubat ni sayang, kepala you sakit, baringlah… tidur ye”, pujuk Wanda

Iskandar benar-benar tidak mampu berfikir, dia hanya menuruti kata Wanda. Selesai ubat ditelan, Iskandar lena semula tidak sedarkan diri. Wanda segera mengambil telefon bimbit Iskandar.
Pantas dia menaip. Mencari nama Sarah, tiada. Sayang? Hmmmm… pasti ini. Segera Wanda menekan butang ‘send’.

Bip bip , 

Sarah segera melihat telefon bimbitnya. Mesej dari Iskandar. Berdebar-debar hati sarah.
“ Sarah, aku ceraikan kau dengan talak tiga! Pergi dari rumah aku.  Bawa apa yang kau bawa semasa masuk ke rumah ini sahaja. Engkau tak berhak ambil apa pun. “

Mata Sarah berpinar, serasa kakinya tidak menjejak tanah. Terasa seluruh alam kosong dan sunyi. Tanpa sedar , kakinya melangkah laju. Sarah berlari sekuat kuat hatinya, air mata mengalir deras tidak tertahan-tahan. Dia berlari dan berlari tanpa arah. Ke mana sahaja kakinya membawa pergi.

Ya Allah Ya Allah Ya Allah Ya Allah Ya Allah, Sarah berlari dan terus berlari. Akhirnya dia jatuh terduduk di hujung jalan.

Ya Allah tidak adakah manusia yang sudi menyayangi ku Ya Allah 


Satu persatu wajah – wajah yang disayanginya seperti terbentang dihadapan mata. Ibu, ayah, Aini, Mak Som, Kak Ton, Sakinah dan akhirnya Iskandar. Kemudian pandangannya berbalam-balam hilang, seperti hilangnya semua orang yang disayang dalam hidupnya. Perlahan-lahan Sarah merebahkan badan di atas jalan. Dia tidak peduli, dia hanya ingin mengosongkan kepalanya, melupakan semua keperitan hatinya. 

Dalam keadaan separa sedar, Sarah terasa seperti ada suara memanggil sambil menggerak-gerakkan tubuhnya. Seketika kemudian Sarah terasa tubuhnya diangkat oleh seseorang.

Saturday, March 1, 2014

Sarah : Bahagian 1

“ Alhamdulillah, Sarah dah sedar… “, Sakinah mengelus rambut Sarah perlahan-lahan.

“Apa yang terjadi Sarah? Nasib baiklah orang yang jumpa Sarah tu baik, dan nasib baik juga Sarah simpan alamat rumah Sakinah dalam dompet. Orang tu hantar Sarah balik malam tadi. Kenapa Sarah jadi macam ni? Iskandar mana?”, bertubi-tubi Sakinah menyoal. Sarah hanya berdiam diri, air matanya mula mengalir.

Siapa hantar Sarah balik malam tadi?, soa; Sarah sambil menyeka air matanya.

Sakinah mengangkat bahu, tanda tidak tahu, kemudian dia mengeluarkan sekeping kad dan menyerahkannya kepada Sarah.

“Ini kad dia, dia cuma kata dia jumpa Sarah tepi jalan dan jumpa alamat Kinah dalam beg dompet Sarah, tu yang dia hantar Sarah ke sini”,

Emmmm…. Abdul Hadi bin Hasan, tak kenal pun…

“ Yang penting Sarah selamat, syukurlah Allah pelihara Sarah dari perkara yang tak diingini”, Sarah mengangguk-anggukkan kepala mengiyakan kata-kata Sakinah. 

“Apa yang jadi sebenarnya Sarah? Ceritalah pada Kinah, kenapa sampai boleh Sarah terbaring kat jalan macam tu?”, Sakinah terus mendesak Sarah bercerita.

Sarah duduk di tepi katil, dengan juraian air mata dia bercerita segala yang terjadi kepada Sakinah, satu-satunya sahabat yang sentiasa ada untuknya mencurah rasa. Yang sanggup susah dan senang bersamanya. Sesungguhnya dia amat bersyukur kepada Tuhan kerana mengurniakan Sakinah dalam hidupnya. Sakinah, teman yang tahu segalanya tentang dirinya.

Selesai mencurah rasa, Sarah merenung siling, air matanya masih laju mengalir. Sakinah melihat dengan hati yang walang. Sungguh, hatinya bagai tersiat melihat Sarah, siapalah yang tidak sedih melihat suami di atas katil dengan wanita lain.

Jahat! Perempuan itu memang harus di ajar! Bentak hati Sakinah.  

Sebenarnya dia tidak begitu mengenali Wanda, dia hanya tahu Wanda teman Sarah. Sering juga Sarah membawa Wanda pulang ke rumah sewa mereka dulu, makan-makan atau kadang kala tidur di rumah. Rupanya hati Wanda tidak secantik wajahnya.  Sanggup dia menipu dan bermain cinta dengan suami sahabatnya.

“Jom! Pergi pasar… “, Sakinah menarik tangan Sarah.

“Buat apa? Mata bengkak. Tak ada mood lah…. “ suara Sarah keluar tersekat-sekat. Dia tidak memandang Sakinah.

“ Cari ayam hidup”.

Sarah mengangkat kepala, memandang Sakinah kehairanan.

“Ayam hidup? Nak buat apa? Engkau ni Inah… aku tengah sedih, jangan buat lawak suruh aku bela ayam pulak.”

“Bukan bela. Kita sembelih, campak kan depan pintu rumah Wanda.”

Bulat mata Sarah memandang Sakinah.

Tiba-tiba Sarah ketawa besar.

Sakinah duduk di sebelah Sarah. Mereka ketawa berselang- seli dengan sedu tangis.

“Gilalah engkau ni Inah”. Sarah tersenyum, hilang sedikit hibanya.
…  

Bersambung… 

Bunga Straw dan Habib

Ada satu masa sewaktu saya berumur sekitar 20-an, wanita-wanita di Malaysia mengalami fenomena ‘kegilaan bunga straw’. Saya juga turut terbabit. Dalam pada berasak asak dalam komuter sewaktu pulang dari kerja, asal mendapat tempat duduk sempat saya membuat bunga straw. Bunga straw yang telah siap, saya susun rapat rapat dalam bekas seramik atau bakul bakul kecil yang saya dapat dari kenduri kendara.

Setelah siap, suami akan membawa ke tempat kerjanya dan dijual kepada pekerja –pekerja Bangladesh dengan harga RM5 setiap satu :))

Sebenarnya bunga yang saya buat itu tidaklah cantik mana, tetapi mungkin kerana di tempat kerja, suami adalah ketua mereka, maka nya hasil tangan saya yang tidak seberapa itu mendapat permintaan yang tinggi dari mereka. Barangkali mereka cuma ingin mengambil hati suami kerana sebenarnya apa sahaja yang dijual suami pasti mereka beli.

Bila saya kenang-kenangkan… baiknya hati mereka.

Salah seorangnya bernama Habib, baik tutur kata dan bersopan orangnya.

“Habib, nak beli bunga ?”, ok

“Habib, nak beli pisang ?”, oook

“Habib, nak beli t-shirt ?”, oooook

“Habib, nak beli kerepek ?”, oooooook :))

Dia paling rapat dengan suami, tidak sekadar membeli, Habib juga promosi pada semua rakan serumahnya.

Pekerja-pekerja asing semua ditempatkan dalam satu rumah panjang seperti asrama. Mereka pelbagai latar belakang. Ramai juga yang punya tahap pendidikan yang bukan calang calang, ijazah dalam pelbagai jurusan. Malah ada yang mempunyai lebih dari satu ijazah. Namun kerana tidak mendapat pekerjaan di negara mereka, maka mereka merantau kesini mencari rezeki. Di sini, walau pekerjaannya tidak ‘class’ tetapi gajinya setara dengan mereka yang berjawatan besar di sana.

Kerana keluarga tiada disisi, mereka juga bekerja umpama mesin… 7 hari seminggu, malah mengambil OT semaksimum mungkin yang diberikan.

Kelak bila pulang mereka telah mempunyai modal untuk memulakan perniagaan.

Saya ceritakan kisah ini kerana ada seorang remaja mengadu tidak tahan dengan kerjanya, penatlah... kotorlah... boss bisinglah... gaji sikitlah... , kemudian saya tanya beliau telah bekerja berapa lama?

3 hari.

Aduhai adik.... tak tahulah nak nasihat bagaimana, tetapi boss boss ni biasanya kalau kita tidak berkira kerja, in shaa Allah mereka pun tidak berkira memberi gaji. Kalaupun dia berlaku tidak adil kepada awak, yakinlah pada yang memberi rezeki, jika tidak dibayar oleh si 'boss' tadi, kelak pasti dibayar dengan cara yang lain oleh Yang Maha Penyayang.

Jangan stress stress ya! Bekerja sahaja dengan ikhlas, yakin pasti ada ganjarannya nanti 

Allah ya Allah, jadikan kami hambaMu yang sentiasa bersyukur. Berikan kami ketabahan dan ketekunan dalam setiap pekerjaan yang kami lakukan.
2Like ·  · Stop Notifications · Promote ·