Wednesday, April 24, 2013

Saling Memerlukan

Malam tadi pulang dari restoran perut saya sakit memulas-mulas… 

Pembuat air cuti, biasanya ada yang boleh mengganti, tapi malam tadi memang tiada pilihan… saya yang kena menggalas tugas itu… Beberapa bulan yang lepas saya tidak merasa susah mengganti tugas membuat air. Ini kerana semasa mula membuka restoran itu saya sepakat dengan suami yang dia akan membangunkan dapur masakan manakala saya membangunkan tempat membuat air. Lagipun pada masa itu ada Hairi, pembuat air yang paling bersemangat di Simpang Pulai! :) Banyak yang saya pelajari dari dia tentang hal-hal membuat air… Jadi apabila ada masalah pekerja di bahagian air tidak menjadi masalah untuk saya menjadi pengganti…

Tapi sekarang, sudah berbulan bulan saya bersenang-senang sebagai boss (:P) yang memantau mantau dan mengarah sahaja… Allah ya Allah, barangkali malam tadi Dia ingin memberi saya pengajaran yang berharga…

Mulanya saya rasa ok sahaja, tetapi tiba-tiba order datang bertimpa-timpa… Oh, Tidak! Si kalut ini mulalah kelam kalibut… Si Aisyah pembantu di bahagian air pula asyik merenung saya membuat air. Dia menunggu saya siap untuk menghantar air itu… “Aisyah, jangan pandang akak!” Aisyah ketawa dan beralih ke tempat lain, sedar-sedar saya sudah meletak dua sudu milo ke dalam air bandung! Nasib baik Aisyah tak nampak ( o_o)’. Kalutnya saya !

Selesai, saya dan Aisyah ketawa… tempat air berselerak.

Teringat saya mengomel ngomel kepada pekerja supaya sentiasa kemas.. sentiasa bersih… kerja mesti teratur… susun dengan baik :)) Jadi, puan yang pandai memantau dan mengarah-ngarah itu memang mendapat pengajaran berguna malam tadi!

Allah ya Allah, Ia peringatan lembut yang menusuk ke hati… sungguh benar Allah menjadikan kita berbeza-beza supaya kita berfikir. Supaya kita saling menghormati. Berbeza bakat, berbeza peranan, berbeza bangsa, berbeza rupa… 


Bukankah itu tanda kebesaranNya?

Pengalaman malam tadi memberitahu saya betapa kami amat memerlukan antara satu sama lain. Setiap seorang pekerja di restoran itu penting… Saya berpendapat tidak ada satu pekerjaan pun yang lebih penting berbanding kerja yang lain. Setiap pekerjaan mempunyai peranan yang sama penting. Mungkin tukang masak itu nampaknya seperti paling penting kerana dia menyediakan makanan tetapi tanpa pembantu depan yang menyenangkan, mungkin pelanggan tak ingin pun untuk merasa masakannya. Makanan yang sedap rasanya tawar jika yang menyajikan makanan menghantar makanan seperti tidak ikhlas.

Allah ya Allah, Allah ya Azim, Allah ya Ghafur, Allah ya Mu’iz, Mudah bagi Mu ya Allah meletakkan siapa yang Engkau kehendaki kepada kedudukan mana juga yang Engkau kehendaki.

Oh, berkenaan sakit perut tadi, saya minum air sirap limau yang tersilap order, kemudian minum air kelapa kerana ada lebih… kemudian air mochacino yang terlebih buat. Selepas itu terkisar tembikai lebih pula semasa membuat order air tembikai… nak dibuang membazir pula. :)) Selepas itu sibuk sibuk pula mengadu kenapa ye perut saya memulas mulas?

No comments:

Post a Comment